Program Celik Kewangan Usahawan Pahang 2026
BERITA RASMI

Program Celik Kewangan Usahawan Pahang 2026 Perkasa Usahawan Melalui Pengurusan Kewangan Dan Zakat Perniagaan

KUANTAN | 22 Jun 2026 | Bilik Mawar, BCIC Lodge

KUANTAN, 22 Jun 2026 – Program Celik Kewangan Usahawan Pahang 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mawar, BCIC Lodge, Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan dengan penyertaan para usahawan bagi memperkukuhkan kefahaman berkaitan pengurusan kewangan dan tanggungjawab zakat perniagaan.

Program ini dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang bersama rakan strategik Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

Pelaksanaan program ini bertujuan memberi pendedahan kepada para usahawan mengenai pengurusan kewangan yang lebih tersusun, aliran tunai perniagaan, perancangan kewangan serta pematuhan tanggungjawab kewangan menurut perspektif Islam.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai slot perkongsian ilmu yang menyentuh aspek pengurusan aliran tunai, pengurusan hutang, perancangan kewangan perniagaan serta kaedah memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat dalam menghadapi cabaran semasa.

Pusat Kutipan Zakat Pahang turut mengambil bahagian melalui slot khas bertajuk “Zakat Perniagaan Dan Tanggungjawab Usahawan Muslim” yang disampaikan oleh Encik Mohd Abdul Khaliq bin Mohd Nazir.

Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan kepentingan zakat perniagaan sebagai salah satu tanggungjawab syariah yang perlu ditunaikan oleh para usahawan Muslim yang memenuhi syarat wajib zakat.

Beliau turut menekankan bahawa zakat perniagaan bukan sekadar kewajipan agama, malah berperanan sebagai instrumen penyucian harta, penyubur keberkatan rezeki serta pemangkin kepada pembangunan ekonomi ummah secara menyeluruh.

Para peserta turut diberikan penerangan berkaitan kaedah asas pengiraan zakat perniagaan, syarat-syarat wajib zakat serta kemudahan pembayaran yang disediakan oleh PKZ Pahang bagi memudahkan usahawan menunaikan tanggungjawab tersebut.

Program ini turut membuka ruang interaksi dua hala antara peserta dan penceramah bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan kewangan serta pelaksanaan zakat dalam perniagaan yang sering dihadapi oleh usahawan.

Pihak PKZ Pahang merakamkan penghargaan kepada PKNP atas penganjuran program yang bermanfaat ini serta kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen dan penglibatan aktif sepanjang program berlangsung.

Diharapkan ilmu dan perkongsian yang diperoleh dapat membantu para usahawan memperkukuhkan pengurusan kewangan perniagaan masing-masing serta meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab menunaikan zakat perniagaan demi mencapai kejayaan dan keberkatan yang berterusan.

Disediakan oleh:
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang