Majlis Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Al-Falah, Sungai Isap 2, Kuantan hari ini, menghimpunkan pelbagai agensi, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat serta para pembayar zakat sebagai tanda komitmen bersama dalam memperkasa institusi zakat dan wakaf di Negeri Pahang.
Program dimulakan dengan Tausiyah Khas bertajuk “Kembalikan Berkat Yang Hilang” yang disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Pahang, Yang Hormat Dato’ Haji Badli Shah bin Alauddin. Dalam tausiyah tersebut, beliau menekankan kepentingan mengembalikan keberkatan dalam kehidupan melalui ketaatan kepada Allah SWT, pemeliharaan amanah serta penghayatan ibadah zakat dan wakaf sebagai instrumen yang menyucikan harta dan memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa dan alunan ayat-ayat suci al-Quran sebelum ucapan aluan disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Asri bin Awang, Pengurus Zon Tengah PKZ Pahang merangkap Pengarah Program Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang 2026. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong agenda pembangunan ummah melalui zakat dan wakaf.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang selaku wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang merupakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan zakat dan wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosial, ekonomi dan kebajikan umat Islam di negeri ini.
Sebagai simbolik pelancaran, satu gimik khas berserta tayangan montaj telah dipersembahkan bagi menandakan bermulanya pelaksanaan Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang 2026 yang akan berlangsung sepanjang bulan Muharam dengan pelbagai program pengimarahan, pendidikan dan kesedaran berkaitan zakat dan wakaf.
Majlis turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM392,035.93 daripada lima buah koperasi kepada PKZW Pahang. Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen sektor koperasi dalam menunaikan tanggungjawab zakat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam di Negeri Pahang.
Selain itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM150,173.00 kepada lapan institusi pendidikan di seluruh negeri. Bantuan tersebut meliputi geran aktiviti dakwah dan pembangunan insan, menaik taraf kemudahan pendidikan, penyelenggaraan institusi pengajian serta penyediaan peralatan pembelajaran demi memperkukuhkan pembangunan modal insan dan pendidikan ummah.
Dalam majlis yang sama, Wakaf Pahang turut menyerahkan Dana Wakaf berjumlah RM152,500.00 kepada lima penerima yang terdiri daripada masjid, surau, institusi pendidikan dan program sosial. Dana tersebut akan dimanfaatkan bagi memperkukuhkan institusi Islam, meningkatkan kemudahan keagamaan serta memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat.
Antara penerima Dana Wakaf tersebut ialah Masjid Al-Falah Perkampungan Sungai Isap 2, Surau Al-Anqa Kampung Padang Garuda, Masjid Tengku Abu Bakar Raub, Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar Pahang di Pekan serta Pejabat Agama Islam Bandaraya Kuantan bagi pelaksanaan program sosial.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Hibah Wakalah berjumlah RM3,000.00 kepada Masjid Al-Falah Sungai Isap 2 sebagai galakan kepada institusi masjid dalam memperkasa aktiviti dakwah dan pembangunan komuniti setempat.
Penganjuran Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang 2026 membuktikan komitmen berterusan MUIP dan PKZW Pahang dalam memperkasakan instrumen zakat dan wakaf sebagai pemacu pembangunan ummah yang mampan. Diharapkan pelbagai program yang dirancang sepanjang bulan ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan berzakat dan berwakaf serta menyemarakkan budaya memberi demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Pahang.
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang