CEO Berkhutbah di Masjid Al Jazari Pekan
BERITA RASMI

CEO PKZW Pahang Sampaikan Khutbah Khas Sempena Bulan Zakat & Wakaf Negeri Pahang 2026

UMPSA PEKAN | 19 Jun 2026 | Masjid Al Jazari, Pekan

Sempena Bulan Zakat & Wakaf Negeri Pahang 2026, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman telah menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk “Ibadah Zakat, Wakaf dan Sedekah Teras Pembangunan Ummah” di Masjid Al Jazari, Pekan.

Khutbah khas tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Bulan Zakat & Wakaf Negeri Pahang yang dilaksanakan sepanjang bulan Muharam 1448H bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan zakat, wakaf dan sedekah sebagai instrumen pembangunan ummah.

Dalam khutbah tersebut, beliau menekankan bahawa Islam menggalakkan umatnya memiliki harta yang diurus sebagai amanah daripada Allah SWT. Pengurusan kekayaan yang betul amat penting agar harta dapat diagih dan dibelanjakan untuk kebajikan sosial serta membantu golongan yang memerlukan.

Beliau turut menjelaskan bahawa zakat merupakan rukun Islam yang ketiga dan wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan. Zakat berperanan membersihkan harta, meningkatkan rohani pembayar serta membantu membangunkan ekonomi masyarakat melalui pengagihan semula kekayaan secara seimbang.

Khutbah tersebut turut menyentuh pencapaian kutipan zakat tahun 2025 yang merekodkan peningkatan kepada RM243.19 juta dengan lebih 108,000 orang pembayar. Sementara itu, bantuan zakat berjumlah RM273.02 juta telah disalurkan kepada 130,817 penerima sepanjang tahun 2025 melalui 25 skim bantuan MUIP merangkumi keperluan asas, pendidikan, perumahan, perniagaan dan dakwah.

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”

Dalam aspek wakaf, beliau mengingatkan jemaah bahawa Islam amat menggalakkan amalan berwakaf kerana ganjarannya besar dan berterusan. Wakaf menjadikan sesuatu harta dimanfaatkan untuk kegunaan umum, sama ada bagi tujuan keagamaan, amal kebajikan atau keperluan masyarakat dengan manfaat yang berpanjangan selaras dengan syarak.

Menurut khutbah tersebut, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang merupakan Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf di Negeri Pahang, manakala Wakaf Pahang dipertanggungjawabkan oleh MUIP untuk mengurus dana wakaf sama ada dalam bentuk tunai atau aset serta melaksanakan pembangunan tanah wakaf secara berkesan.

Khutbah berkenaan turut berkongsi pencapaian wakaf di Negeri Pahang sepanjang tahun 2025 yang merekodkan kutipan sebanyak RM7.6 juta dengan penyertaan 10,986 pewakaf. Selain itu, sebanyak 63 aset wakaf terdiri daripada tanah dan bangunan telah diterima, manakala RM3,962,933.03 Dana Wakaf telah diagihkan kepada 82 penerima wakaf melibatkan kategori keagamaan, kesihatan, pendidikan dan sosial.

Selain berzakat dan berwakaf, jemaah turut diseru agar memperbanyakkan amalan sedekah kerana ia merupakan pemberian harta secara sukarela yang membawa pahala berlipat ganda serta menambah keberkatan rezeki.

Kesimpulan khutbah tersebut menegaskan bahawa harta adalah amanah daripada Allah SWT yang berkait dengan hak orang lain, manakala zakat, wakaf dan sedekah merupakan amalan yang dituntut dalam membina masyarakat yang prihatin, seimbang dan berdaya tahan.

Disediakan oleh:

Pusat Kutipan Zakat Pahang