Kaunter Zakat dan Wakaf di Felda Kechau Kuala Lipis
BERITA RASMI

Kaunter Zakat Dan Wakaf Zon Barat Dibuka Di Felda Kechau Kuala Lipis

KUALA LIPIS | 24 Jun 2026 | Felda Kechau

KUALA LIPIS, 24 Jun 2026 – Sempena Bulan Zakat & Wakaf Negeri Pahang 1448H/2026, PKZ Zon Barat telah membuka Kaunter Zakat dan Wakaf di Felda Kechau, Kuala Lipis bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan maklumat berkaitan zakat dan wakaf secara terus.

Pembukaan kaunter ini merupakan antara usaha turun padang PKZ Zon Barat dalam memperluaskan capaian perkhidmatan kepada komuniti Felda, khususnya bagi memberi penerangan mengenai tanggungjawab berzakat, peluang berwakaf serta kemudahan pembayaran yang disediakan.

Melalui kaunter tersebut, masyarakat setempat berpeluang mendapatkan khidmat nasihat, membuat pertanyaan, semakan serta mendapatkan penjelasan berkaitan zakat dan wakaf dengan lebih dekat dan mudah.

Selain itu, kaunter ini turut memberi ruang kepada orang ramai untuk menunaikan zakat serta menyertai wakaf tunai sebagai salah satu amalan kebajikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat dan ummah.

Sambutan yang diberikan oleh warga Felda Kechau amat dihargai dan mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan zakat dan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial, ekonomi dan kebajikan umat Islam.

PKZ Pahang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua masyarakat setempat yang hadir, bertanya dan mendapatkan maklumat sepanjang kaunter dibuka.

Diharapkan pelaksanaan kaunter bergerak seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan mesej zakat dan wakaf dapat disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat di seluruh Negeri Pahang.

Disediakan oleh:
Pusat Kutipan Zakat Pahang