Pelancaran Potongan Gaji Wakaf Tunai Sang Saka Biru Negeri Pahang
BERITA RASMI

Pelancaran Potongan Gaji Wakaf Tunai Sang Saka Biru Negeri Pahang

KUANTAN | 23 Jun 2026 | Dewan Tun Razak, IPK Pahang

KUANTAN, 23 Jun 2026 – Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pahang hari ini melakar satu lagi sejarah tersendiri apabila melancarkan Program Potongan Gaji Wakaf Tunai Sang Saka Biru Negeri Pahang sebagai usaha memperkasa sosioekonomi ummah dan membudayakan amalan wakaf dalam kalangan warga PDRM.

Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Dewan Tun Razak, Tingkat 9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan disempurnakan oleh YDH Dato’ Sri Yahaya bin Othman, Ketua Polis Pahang.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif potongan gaji wakaf ini merupakan satu usaha murni untuk menyemai budaya berwakaf dalam kalangan warga PDRM sebagai amalan kebajikan yang mampu meraih ganjaran pahala berterusan di dunia dan akhirat.

Menurut beliau, pelancaran Potongan Gaji Wakaf Tunai Sang Saka Biru Negeri Pahang ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan kempen potongan gaji zakat yang telah dilaksanakan sebelum ini dan menjadi inspirasi kepada pelaksanaan program wakaf berkenaan.

Kempen zakat tersebut berjaya mencapai sasaran melebihi 50 peratus daripada keseluruhan pegawai kanan, anggota dan pegawai awam PDRM Pahang pada tahun 2025.

Hasil kempen tersebut, potongan gaji zakat telah meningkat daripada 1,018 anggota dengan jumlah zakat RM53,706 sebulan kepada 4,037 orang dengan jumlah RM117,633.37 sebulan. Kejayaan ini turut melayakkan PDRM Pahang menerima Wakalah Zakat MUIP berjumlah RM133,864.00 pada Februari 2026 yang lalu.

Ketua Polis Pahang turut menyeru semua pengarah dan Ketua Polis Daerah agar bekerjasama dengan Wakaf Pahang bagi memastikan seluruh warga PDRM dapat menyertai wakaf tunai serendah RM5 sebulan kerana manfaatnya akan kembali kepada masyarakat termasuk warga PDRM sendiri.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YH Dato’ Azry Akmar bin Dato’ Haji Ayob, Timbalan Ketua Polis Pahang; YBrs. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang; Ustaz Mohd Farid bin Mohd Ramli, Ketua Bahagian Korporat Wakaf Pahang; serta Encik Farhan Mirdza bin Abd Rani, Ketua Bahagian Hartanah Wakaf Pahang.

Bersempena dengan pelancaran tersebut, Wakaf Pahang turut menyampaikan sumbangan Dana Wakaf berjumlah RM50,000 kepada Surau Balai Polis Krau dan Surau IPK Kuantan.

Pelancaran Potongan Gaji Wakaf Tunai Sang Saka Biru Negeri Pahang ini diharap dapat memperluaskan lagi budaya berwakaf secara konsisten dalam kalangan warga PDRM, sekali gus menyumbang kepada pembangunan institusi Islam, kebajikan masyarakat dan sosioekonomi ummah secara berterusan.

Disediakan oleh:
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang